Sunday, September 16, 2007

... Jibril teaches!!


Pada suatu hari, sedang baginda Muhammad S.A.W sedang duduk bersama para sahabat, maka datanglah seorang pemuda yang berpakaian serba putih, dengan rambut yang serba hitam. Pada raut wajahnya tiada kelihatan tanda2 kepenatan, manakala tiada pula tanda2 beliau telah berjalan jauh, sedangkan para jemaah tidak mengenal akan jejaka itu.

Maka pemuda itu berjalan ke arah baginda Muhammad S.A.W dan duduk di hadapan baginda. Beliau duduk dengan lutut beliau bertemu dengan lutut baginda, dan setelah meletakkan tangan beliau di atas peha baginda, beliau bertanya "Wahai Muhammad, terangkanlah kepadaku tentang Islam". Maka baginda menjawab dengan tenang "Islam adalah mengaku tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji bagi mereka yang mampu". Setelah mendengar penjelasan tersebut pemuda itu berkata "Benar kata-kata kamu itu". Maka para jemaah berasa semakin pelik, mengapa pemuda itu membenarkan kata2 baginda sedangkan pemuda itu yang bertanya. (Sepatutnya orang yang bertanya adalah orang yang tidak tahu akan fakta sesuatu)

Kemudian pemuda itu bertanya "Terangkan kepada aku tentang Iman". Baginda menjawab "Iman adalah mempercayai dengan sepenuh hati kepada Allah, Malaikat2-Nya, Kitab2-Nya, Rasul2-Nya, mempercayai sepenuh hati kepada Hari Qiamat dan kepada Qada' dan Qadar." Setelah selesai, sekali lagi pemuda itu berkata "Benar kata-kata kamu itu."

Pemuda itu kemudiannya bertanya "Jikalau begitu terangkanlah kepadaku tentang Ihsan". Baginda menjawab lagi "Ihsan adalah menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Dia. Walaupun kamu tidak melihat Dia, yakinlah bahawa Dia melihat kamu"

Pemuda itu bertanya lagi "Ceritakan kepada aku tentang waktu Hari Qiamat". Rasulullah menjawab "Yang bertanya dan yang ditanya tidak ada pengetahuan tentang itu. Allah sahaja yang mengetahui tentangnya (waktu Hari Qiamat)"

Pemuda itu masih lagi bertanya. "Jikalau begitu terangkan kepadaku tentang tanda2 Hari Qiamat." Rasulullah menjawab "Tidak akan datang hari Qiamat sehingga seorang hamba melahirkan tuannya sendiri dan kamu akan melihat orang yang miskin dan fakir berebut2 membina gedung2 yang besar."

Setelah mendengar segala penjelasan baginda, pemuda itu berkata "Memang benar kata2 kamu itu wahai Muhammad" dan kemudian beliau pun berlalu meninggalkan jemaah tertanya2. Setelah beberapa ketika Rasulullah berpaling kepada Saidina Umar dan bertanya "Tahukah kamu siapa pemuda yang bertanya itu?" Saidina Umar menjawab "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Baginda menjawab "Ketahuilah, bahawa pemuda tersebut adalah Malaikat Jibril a.s, yang datang kepada kamu semua untuk mengajar kamu tentang agama kamu. (Islam)"